Saturday, June 20, 2015

Pertama Kali

Pertama Kali – Seminar ASEAN Di Bangkok, Thailand
Saawadikaaap.. khap khun khaaap.. ikan siakaaap.. tarikh 23 Januari 2011 merupakan hari ini dalam sejarah hidup saya memandangkan pertama kali keluar daripada tanah air tercinta. Walaupun perjalanan ke Bangkok tidaklah sejauh ke KK atau Tawau, tetapi ia tetap mengukir sejarah tersendiri. Ini secara otomatiknya saya terpaksa memohon passport buat kali pertama. Ramai kawan2 membuat tekaan bahawa saya kerap kali ke luar negara.. sebenarnya, ini adalah kali pertama sejak dilahirkan di muka bumi ini 28 tahun yang lepas..
Pertama Kali – Tiket Flight Kelas Bisnes
Alhamdulillah. Dapat juga saya untuk merasai pengalaman menaiki penerbangan kelas ini. Pada masa yang sama, saya juga diberi peluang untuk merasa sendiri suasana golden lounge (tempat yang boss saya mendakwa penyebab utama peningkatan berat badannya). Jadi saya bertolak awal bersama dengan rakan sekerja Shira untuk menikmati makanan yang disediakan di golden lounge tersebut. memang diakui pilihan makanan agak banyak sehinggakan saya rambang mata. Malangnya saya terpaksa rizabkan sedikit ruang untuk makan semasa dalam penerbangan. Memang agak istimewa layanan yang diberikan kepada penumpang kelas bisnes. Sehinggakan saya tidak larat untuk makan. Bagi saya kelas bisnes adalah berkaitan dengan terma “ruang” iaitu, ruang tempat duduk agak luas; ruang masa agak terhad memandangkan terlalu banyak makanan dihidangkan; dan ruang perut perlu dirizabkan supaya dapat menikmati pelbagai hidangan.
Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok kira-kira jam 420 petang selepas 2 jam penerbangan. Ini bermakna kami dapat jimat masa satu jam kerana perbezaan masa antara Malaysia dan Thailand. Kami terus dibawa ke Amari Watergate Hotel di Pratunam, Bangkok. Saya sungguh bertuah kerana mempunyai kawan yang bekerja di Bangkok iaitu En. Boniface yang sudi membawa saya, Shira dan kawan baru dari KPWKM, Mazlan untuk menikmati makanan muslim di Sukhumvit. Saya berasa agak kurang selesa dengan suasana trafik dan cara pemanduan kenderaan yang agak luar biasa berbanding dengan Malaysia. Tetapi ada positifnya iaitu mereka tidak suka membunyikan hon dan kurang baran berbanding pemandu kita.
Hotel
Saya telah diberikan bilik di tingkat ke-27 dan suasana bilik agak eksekutif dengan harga 2800Baht. Tetapi agak sunyi sekiranya hanya tinggal keseorangan dalam bilik yang luas.
Bengkel “Regional Workshop On The Asean (Azean) Roadmap for The Attainment of The MDGs”
Hari pertama hanya untuk mendengar sahaja. Manakala hari kedua pula diadakan perbincangan kumpulan di mana saya dipaksa untuk bercakap bahasa asing walaupun saya mengidap sindrom “halangan bahasa”. Dapat diperhatikan juga, negara-negara agak maju seperti Jepun, Brunei, Singapura dan Malaysia kurang bercakap. Sebaliknya, banyak sesi dikuasai oleh negara-negara yang serba kekurangan. Kekadang terasa juga nak memberi pesanan yang kurang bercakap dan banyak berfikir adalah lebih baik.
Jalan-jalan Cari Makan dan Beli Belah
Selepas bengkel hari pertama, kami berlima diketuai oleh Dr. Safi (KKM – merangkap ketua delegasi), Pn Rafliza (DoS), Mazlan (KPWKM), Shira dan saya bersama-sama menapak ke kawasan Petchaburi untuk menikmati makanan yang dijamin halal. Selepas makan, kami terus mara untuk ke MBK untuk mencari barangan cenderamata. Pasaraya tersebut merupakan antara yang terbesar di kota ini. Saya cukup rasa bersalah apabila secara tidak sengaja memecahkan satu barang yang dikategorikan sebagai “Once broken considered sold”. Penjual tersebut menyuruh saya membayarnya dengan 85baht. Namun saya cukup bertuah, ketika saya sedang mengira duit untuk membayar, tauke kedai tersebut memanggil penjual tersebut. Untuk berlaku adil, saya membeli barangan di kedai tersebut, tetapi tidak membayar barangan yang pecah tadi. Saya dengan pantas membayar barangan kepada jurujual lain yang tidak mengetahui insiden tersebut. Saya beredar dengan rasa penuh bersalah.
Pada hari kedua pula, Shira tidak menyertai delegasi kami untuk mencuba kedai makanan muslim yang lain pula tetapi hanya bersebelahan dengan kedai semalam. Seterusnya kami terus ke Pasar Pratunam untuk membeli barangan yang sepatutnya. Semasa perjalanan balik, saya terserempak dengan seorang pemuda yang bertanyakan sama ada mahu menaiki teksi atau tidak. Saya menidakkannya. Seterusnya dia menawarkan sesuatu benda yang boleh menggoncangkan iman sambil menunjukkan gambar-gambar yang haram dipandang. Nasib baik suasana agak gelap, jadi saya tidak nampak dengan jelas pemandangan tersebut. Pada masa yang sama, saya adalah rabun malam. Ada hikmahnya. Sungguh mencabar berada di kawasan sebegini. Syabas untuk umat Islam yang berada di sini dan dapat mengelakkan daripada terjebak dengan aktiviti haram tersebut.
Pemerhatian
Dapat diperhatikan bahawa gelagat orang Bangkok yang begitu menghormati para pelancong asing. Sehinggakan saya agak berani untuk berjalan-jalan sekitar bandaraya tersebut. Malah saya akui bahawa rasa takut saya agak kurang berbanding berjalan keseorangan di sekitar bandaraya KL. Itu lah realitinya. Selain itu, kemahiran berbahasa Inggeris para peniaga adalah agak menakjubkan walaupun tulisan mereka agak unik dan pelik serta tidak sama dengan kebanyakan negara. Mungkin mereka seringkali berkomunikasi dengan para pelancong asing. Thailand juga menggunapakai bahasa Inggeris Amerika yang sedikit sebanyak mempunyai perbezaan perkataan tertentu sekiranya kita kurang menelitinya. Merata-rata tempat dapat kita temui kedai-kedai ‘dadah’ atau dalam bahasa Inggeris Amerika (Drug Store) atau sama dengan farmasi di bumi kita.
Kita juga tidak perlu terkejut di bandar Bangkok seolah-olah bandar jajahan Jepun kerana merata-rata tempat kita akan temui kenderaan buatan negara matahari terbit tersebut. Saya berani katakan bahawa daripada 10 buah kenderaan melintasi anda, 5 atau 6 adalah merupakan Toyota Corolla Altis. Ini kerana kereta model tersebut disamakan dengan Proton Iswara/Wira di negara kita yang dijadikan sebagai teksi. Walau bagaimanapun, agak jarang kita dapat melihat kereta model Vios walaupun pemasangannya dibuat di negara ini.
Suasana trafik dan aliran kenderaan agak lancar walaupun isipadunya agak tepu atau 3 kali ganda isipadu kenderaan di KL. Saya amat tertarik dengan sikap para pemandu di sana yang sangat susah untuk membunyikan hon walaupun saya merasakan mereka patut berbuat demikian. Satu pelajaran yang amat berguna untuk saya. Saya merasakan anda mungkin susah untuk tertidur di dalam kereta kerana perlu sentiasa bersedia untuk membrek secara mengejut. Kenderaan agak senang hati untuk keluar atau masuk simpang dengan harapan anda memberikan laluan. Tetapi mereka tidak membunyikan hon. Patut la kenderaan di sana agak canggih dan moden, kalau kereta biasa agak kurang mampu untuk melakukan brek kecemasan dalam keadaan yang genting.
Ketika kami dalam perjalanan ke hotel penginapan, kami terserempak dengan kumpulan Baju Merah atau kumpulan yang anti kerajaan. Pengiring kami memberitahu bahawa kumpulan tersebut terdiri daripada golongan bijak pandai dan profesional. Mereka hanya mengadakan demonstrasi pada hujung minggu sahaja. Semasa suasana darurat dulu, ramai menganggap kumpulan tersebut adalah agak ganas dan agresif. Sebenarnya mereka agak profesional, cuma terdapat tindakan provokasi beberapa pihak sahaja yang membuatkan mereka turut terjebak.

No comments:

Post a Comment